Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera
Malaysia (ATM) memperuntukkan RM100,000 untuk diagihkan sebagai duit raya
kepada bekas anggota dan keluarganya di negeri ini sempena sambutan Aidilfitri
tahun ini.
Pengarah JHEV Cawangan Kelantan dan Terengganu,
Mejar Abu Bakar Siddik Sulaiman berkata, seramai 200 penerima dari negeri itu
menerima sumbangan wang tunai berjumlah RM500 yang disalurkan Kerajaan Pusat
melalui JHEV.
Menurutnya, sumbangan tersebut diagihkan dalam lima
kategori iaitu veteran tentera yang berumur 70 tahun ke atas, anggota yang
hilang upaya ketika menjalankan tugas, balu anggota, anak yatim dan rawatan
penyakit.
"Sumbangan ini merupakan salah satu bentuk
saguhati kerajaan dalam menghargai jasa yang telah dicurahkan oleh bekas
anggota tentera seterusnya meringankan beban yang ditanggung mereka.
"Diharapkan bantuan ini dapat menggembirakan
mereka untuk menyambut kedatangan Syawal tidak lama lagi," katanya kepada
pemberita pada majlis penyampaian sumbangan duit raya kepada keluarga dan
anggota veteran tentera di pejabatnya di sini semalam.
Katanya, kesemua penerima duit raya itu adalah
mereka yang pernah memohon bantuan daripada pihak JHEV.
Abu Bakar memberitahu, untuk Terengganu, pembahagian
sumbangan ini akan dibuat dalam masa terdekat memandangkan jumlah penerimanya
sedikit berbanding Kelantan.
"Di Terengganu kita hanya ada 68 penerima
berbanding 200 di sini. Jadi saya mohon kerjasama bekas tentera yang masih
belum mendaftar dengan Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) supaya tampil
berbuat demikian.
"Ini penting untuk memudahkan pihak persatuan
mengumpul maklumat dan menyalurkan bantuan kepada bekas tentera yang
memerlukan, begitu juga dengan pihak kami," ujarnya...
Jelasnya, bekas anggota tentera yang berusia 70 ke
atas dan mempunyai sebarang masalah boleh tampil ke pejabat JHEV di Tingkat, 9,
Menara Perbadanan di Jalan Tengku Petra Semerak dekat sini untuk memohon
bantuan.
Sementara itu, seorang penerima Rahim Abdul Rahman,
70, yang pernah berkhidmat sebagai anggota Askar Wataniah 302 (AW 302) berkata
dia terharu dan gembira dengan sumbangan tersebut.
"Dengan sumbangan ini dapat saya gunakan untuk
menyambut Aidilfitri yang akan menjelang tidak lama lagi," katanya yang
pertama kali menerima sumbangan tersebut.
sumber: utusan
No comments:
Post a Comment